Friday, 16 December 2011

ada kah kita sedar?

Assalamualaikum,

Sejak dua menjak ni, musim hujan kembali lagi, setiap hari hujan turun dengan lebatnya, aku bersyukur kerana bila hujan turun, suhu pun nyaman sentiasa. Tiada gangguan suhu semasa bekerja di siang hari, walaupun dalam masa yang sama, godaan untuk pergi berbaring di atas katil juga membuak-buak. Artikel kali ini sekadar ingin mengajak para pembaca berfikir bersama-sama aku, sejauh mana kita sedar akan nikmat yang kita telah perolehi?

Seringkali kita mengeluh, melemparkan kata-kata negatif dengan keadaan yang kita hadapi, tidak perlu rasanya menulis kembali ayat-ayat tersebut, pasti anda boleh baca setiap hari ianya dituliskan di laman sesawang, rangkaian sosial dan pelbagai lagi tempat untuk melemparkan kata-kata tersebut. Walaupun mungkin sekadar penulisan, tetapi dalam masa yang sama, ianya menyebabkan hati kita seperti tidak bersyukur dengan nikmat yang kita ada.

Mengatakan kehidupan susah

Adakah kita sedar apabila kita merungut kehidupan begitu susah, sedangkan dalam masa yang sama, individu tersebut menikmati makanan di restoran-restoran makanan segera seperti KFC, McD, KRR dan banyak lagi. Tanpa sedar, kita lupa bahawa ada yang lebih susah daripada kita, sehinggakan untuk mendapatkan hidangan berunsurkan ayam sesekali sebulan pun begitu sukar. Mungkin ada yang menidakkan ayat ini, tetapi itulah hakikatnya, kita seringkali leka dengan zon selesa yang kita nikmati, sehingga tidak sedar keadaan di persekitaran.

Melemparkan komen negatif


Adakah kita sedar, apabila kita melemparkan komen-komen negatif tiap kali sesuatu perkara itu tidak berjalan seperti yang kita inginkan, kita sebenarnya seperti tidak merelakan bahawa tiada perkara yang sempurna dalam kehidupan ini. Acapkali kita sendiri melakukan kesilapan, inikan pula perkara lain yang pastinya akan ada juga kelemahan. Jika kita menghadapi perkara ini dengan maki hamun dan kata-kata kesat, adakah ianya akan membantu perkara itu untuk jadi lebih baik? Jawapannya pasti tidak bukan.

Kehidupan hanya sementara

Adakah kita sedar, bahawa kehidupan ini hanya sementara? Kenapa kita sewenang-wenangnya mengabaikan tuntutan Ilahi, sedangkan ianya sepatutnya menjadi impian yang utama dalam kehidupan ini, untuk mendapatkan keredhaanNya. Seringkali perlakuan kita, penulisan kita, aktiviti di rangkaian sosial, seperti melupakan bahawa kita mempunyai pegangan agama. Seringkali terlihat, kita melemparkan rungutan apabila orang lain melakukan perkara tidak baik, apabila parti politik menggunakan agama untuk kepentingan dan sebagainya. Namun dalam masa yang sama, kita sendiri seperti tidak sedar, kita sedang melakukan perkara yang ditegah agama, menyebarkan keburukan orang lain bukanlah sesuatu yang dituntut.


Rezeki perlu dikongsi

Adakah kita sedar, rezeki yang kita perolehi perlu dikongsi? Walaupun kita bertungkus-lumus bersengkang mata untuk mengerjakan sesuatu perkara itu, hasilnya tetap perlu dikongsi. Bukan semua yang kita perolehi itu adalah hak milik kita. Jangan lupa untuk mengeluarkan zakat, memberi sedekah agar rezeki yang kita perolehi itu akan diberkati dan insyaALLAH akan berganda-ganda pula selepas kita membersihkannya. Janganlah kita takbur mengatakan, segalanya adalah milik kita kerana kita yang mengusahakannya, tanpa izinNya, belum tentu kita akan berjaya melakukan semua perkara tersebut. Panjatkan syukur dan kongsilah rezeki yang diperolehi.

Coretan ini hanyalah peringatan untuk diri aku sendiri dan juga kepada para pembaca yang sudi menerimanya. Marilah kita saling berpesan-pesan, kerana kita manusia tidak dapat lari daripada sifat lupa, usahlah menuding jari mencari kesalahan, tetapi tegurlah sekiranya ada kesilapan. Bersama-sama kita memajukan diri, bangsa, masyarakat, agama dan negara yang tercinta.

No comments:

Post a Comment