Friday, 25 May 2012

Bulan Rejab menjelma Lagi!!

Alhamdulillah… Segala puji dan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah Subhanallah Wa Ta’ala yang telah memberikan kita limpahan nikmat-Nya… Ya Allah, Ya Rabbi! Sesungguhnya Dikau Maha Penyayang terhadap hamba-hamba-Mu, walaupun hamba-hamba-Mu sentiasa lupa kepada-Mu dan sering mengingkari perintah-Mu serta melengahkan perintah-Mu tapi Dikau tidak pernah melupakan mereka, masih mengekalkan segala nikmat yang telah diberikan kepada mereka dan Dikau sentiasa membimbing serta memimpin mereka ke jalan yang Dikau redhai… 



Kita telah dilahirkan di dunia ciptaan Allah Ta’ala yang serba indah ini sebagai hamba-Nya. Akan tetapi, adakah kita melakukan tugas dan amanah yang telah diberikan oleh Allah Subhanallah Wa Ta’ala kepada kita sebagai seorang hamba? Astaghfirullah. Kita perlu sering fikir dan risau tentang ibadah-ibadah dan amalan yang kita lakukan kepada Allah Subhanallah Wa Ta’ala semakin hari semakin berkurangan. Kita telah banyak melakukan dosa-dosa di atas muka bumi ciptaan Allah ini. Tidak kira ianya dosa besar ataupun dosa kecil.. kita tetap berdosa.
Bila tiba bulan rejab terdengarlah orang membicarakan tentang amalan di bulan rejab terutama puasa rejab. Ada yang seronok bila bulan rejab tiba. Seronok nak puasa sunat. Dalam masa yang sama kita mula mendengar dan membaca dalam akhbar tentang hadith-hadith palsu berkenaan amalan di bulan rejab.

Pelbagai perbahasan yang diutarakan. Kita umat islam sewajarnya berpegang dengan hadith sohih dalam beramal ibadah. Cuma janganlah kita asyik berdebat tentang hadith amalan rejab: itu hadith palsu, itu hadith dhaif sehingga akhirnya, kita pulak yang tidak berpuasa langsung di bulan rejab ini. (Awas dari tipu daya syaitan yang suka menggoda manusia berdebat) Kerana di sana ada hadith sohih yang menceritakan Rasulullah SAW yang maksum itu berpuasa di bulan rejab.

Mahfum dari hadith riwayat Muslim ada menyebut Rasulullah SAW dilihat banyak berpuasa pada bulan rejab seolah-olah baginda berpuasa sepanjang bulan tersebut dan ada juga dilihat Rasulullah SAW tidak berpuasa di bulan rejab seolah-olah baginda tidak berpuasa sepanjang bulan rejab.

Sudah tentu kita sebagai manusia yang tidak maksum dan semakin jauh jarak masa dari Rasulullah SAW sewajarnya kita perbanyakkan puasa di bulan rejab ini. Maklum sajalah kita umat akhir zaman ini agak kurang beramal berbanding jenerasi awal Rasulullah SAW. Juga marilah kita di bulan yang diberkati ini memohon kepada Allah supaya mengampuni dosa kita yang banyak ini.

Allahumma innaka ta'lam annahazihil qulub...
Qadijtama'at 'ala mahabbatik! Amin ya Rabbal a'lamin..


AMIRUL HAFIZ BIN OTHMAN
PRESIDEN ALAM 2011/2012

Tuesday, 3 April 2012

~7 keadaan mayat di dalam kubur


Terdapat seorang pemuda yang kerjanya menggali kubur dan mencuri kain kafan untuk dijual. Pada suatu hari, pemuda tersebut berjumpa dengan seorang ahli ibadah untuk menyatakan kekesalahannya dan keinginan untuk bertaubat kepada Allah s. w. t. Dia berkata, “Sepanjang aku menggali kubur untuk mencuri kain kafan, aku telah melihat 7 perkara ganjil yang menimpa mayat-mayat tersebut. Lantaran aku merasa sangat insaf atas perbuatanku yang sangat keji itu dan ingin sekali bertaubat.”

“ Yang pertama, aku lihat mayat yang pada siang harinya menghadap kiblat. Tetapi pabila aku menggali semula kuburnya pada waktu malam, aku lihat wajahnya telahpun membelakangkan kiblat. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?” tanya pemuda itu.

” Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang telah mensyirikkan Allah s. w. t. sewaktu hidupnya. Lantaran Allah s. w. t. menghinakan mereka dengan memalingkan wajah mereka dari mengadap kiblat, bagi membezakan mereka daripada golongan muslim yang lain,” jawab ahli ibadah tersebut.

Sambung pemuda itu lagi,
” Golongan yang kedua, aku lihat wajah mereka sangat elok semasa mereka dimasukkan ke dalam liang lahad. Tatkala malam hari ketika aku menggali kubur mereka, ku lihat wajah mereka telahpun bertukar menjadi babi. Mengapa begitu halnya, wahai tuan guru?”

Jawab ahli ibadah tersebut, ” Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang meremehkan dan meninggalkan solat sewaktu hidupnya. Sesungguhnya solat merupakan amalan yang pertama sekali dihisab. Jika sempurna solat, maka sempurnalah amalan-amalan kita yang lain,”

Pemuda itu menyambung lagi,
” Wahai tuan guru, golongan yang ketiga yang aku lihat, pada waktu siang mayatnya kelihatan seperti biasa sahaja. Apabila aku menggali kuburnya pada waktu malam, ku lihat perutnya terlalu gelembung, keluar pula ulat yang terlalu banyak daripada perutnya itu.”

” Mereka itulah golongan yang gemar memakan harta yang haram, wahai anak muda,” balas ahli ibadah itu lagi.

” Golongan keempat, ku lihat mayat yang jasadnya bertukar menjadi batu bulat yang hitam warnanya. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?”

Jawab ahli ibadah itu, ” Wahai pemuda, itulah golongan manusia yang derhaka kepada kedua ibu bapanya sewaktu hayatnya. Sesungguhnya Allah s. w. t. sama sekali tidak redha kepada manusia yang menderhakai ibu bapanya.”

” Kelima, ku lihat ada pula mayat yang kukunya amat panjang, hingga membelit-belit seluruh tubuhnya dan keluar segala isi dari tubuh badannya,” sambung pemuda itu.

” Anak muda, mereka itulah golongan yang gemar memutuskan silaturrahim. Semasa hidupnya mereka suka memulakan pertengkaran dan tidak bertegur sapa lebih daripada 3 hari. Bukankah Rasulullah s. a. w. pernah bersabda, bahawa sesiapa yang tidak bertegur sapa melebihi 3 hari bukanlah termasuk dalam golongan umat baginda,” jelas ahli ibadah tersebut.

” Wahai guru, golongan yang keenam yang aku lihat, sewaktu siangnya lahadnya kering kontang. Tatkala malam ketika aku menggali semula kubur itu, ku lihat mayat tersebut terapung dan lahadnya dipenuhi air hitam yang amat busuk baunya,”

” Wahai pemuda, itulah golongan yang memakan harta riba sewaktu hayatnya,” jawab ahli ibadah tadi.

” Wahai guru, golongan yang terakhir yang aku lihat, mayatnya sentiasa tersenyum dan berseri-seri pula wajahnya. Mengapa demikian halnya wahai tuan guru?” tanya pemuda itu lagi.

Jawab ahli ibadah tersebut, ” Wahai pemuda, mereka itulah golongan manusia yang berilmu. Dan mereka beramal pula dengan ilmunya sewaktu hayat mereka. Inilah golongan yang beroleh keredhaan dan kemuliaan di sisi Allah s. w. t. baik sewaktu hayatnya mahupun sesudah matinya.”

Ingatlah, sesungguhnya daripada Allah s. w. t kita datang dan kepadaNya jualah kita akan kembali. Kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap amal yang kita lakukan, hatta amalan sebesar zarah.