Wednesday, 22 February 2012

Akhlak Islam : Ke arah Pemantapan Nilai Murni dan Asas Kualiti .

Muqaddimah .

Sebagai insan yang diamanahkan untuk mengurus kehidupan di dunia serba mencabar ini , pastinya nilai murni yang mantap adalah pengaruh utama dalam membentuk kualiti dan standard value diri ini di dunia bahkan melewati sempadan akhirat.

Tanpa syak pula , Nilai Murni tersebut dengan segala ciri dan sifatnya adalah bertunjangkan Akhlak Islami yang tulen .

Dari Abi Darda’ Rha. bahawa Rasulullah saw bersabda :

مَا مِنْ شَئٍ أَثْقَلَ فِيْ مِيْزَانِ الْمُؤْمِنِ يَوْمَ اْلقِيَامَةِ مِنْ حُسْنِ الْخُلْقِ وَ أَنَّ اللهَ تَعالى لَيَبْغَضُ اْلفَاحِشَ اْلبَذِئ

Sebahagian dari suatu yang memberatkan timbangan amal seorang mukmin di akhirat kelak ialah Akhlak yang Murni dan Allah swt. sangat murka terhadap kekejian ( penyelewengan ) yang menjijikkan.

Diriwayatkan oleh At Tarmizi

Dari Abi Hurairah Rha. telah berkata : Rasulullah saw. bersabda :

مِنْ حُسْنِ اْلإِسْلاَمِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لاَ يَعْنِيْهِ

Sebahagian daripada keelokkan Islam seseorang ialah “meninggalkan suatu yang tidak mendatangkan faedah kepada dirinya”

Hadith Hasan di riwayatkan oleh At Tarmizi dan lainnya dan
berkata Az Zarqani dalam Syarah Muwatta’ :
Sanadnya Hasan bahkan Shohih.

Akhlak Islami.

Akhlak Islami atau keperibadian Islam adalah nilai watak dan perilaku yang berasaskan prinsip “ Sifat Mahmudah” dan “Uswatun Hasanah” . Nilai ini tidak hanya lahir dari bakat dan tuah seseorang tetapi ianya perlu dibentuk dan dibina melalui system pendidikan dan penghayatan .

Rujukan rasmi untuk mencula setiap perilaku dan watak yang dimiliki oleh setiap individu agar ia menepati piawaian akhlak yang ditetapkan oleh syara’ ialah Tokoh bertaraf Rasul yang ma’sum . ( Baginda saw. ) Firman Allah swt :

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah saw. itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang Yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)

Al Ahzab : 21

Sabda Rasulullah saw :

إِنَّمَا بُعِثْتُ ِلأُتَمِّمَ مَكَارِمَ اْلأَخْلاَقِ

Sesungguhnya aku dibangkitkan untuk menyempurnakan Kemuliaan Akhlak.

Sunday, 1 January 2012

AYUH BANGKIT PEMUDA ISLAM!!

“Dengan Nama Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani”
Alhamdulillah Ya Allah, puji-pujian hanya layak buat Mu. Pemilik segala isi dunia dan akhirat. Selawat dan salam buat kekasih tercinta, Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kerabat Baginda. Tidak lupa jua buat para sahabat dan tabi’in sekalian.
 Berkata tentang pembela-pembela agama Allah, marilah kita menyingkap kembali sirah terdahulu pada zaman para sahabat.
Siapakah dia yang telah menjadi pejuang-pejuang agama Allah pada zaman dahulu? Merekalah para pemuda yang kental hatinya, mantap imannya, sempurna akidahnya dan tidak terbuai dengan tipu daya dunia. Mereka inilah yang telah ditarbiyah oleh Rasulullah dalam perancangan menegakkan panji-panji Islam.
Abu Bakar, lebih muda 3 tahun daripada Rasulullah, Umar, memeluk islam pada umur 27 tahun, Ali, menerima hidayah pada umur 10 tahun, Mus'ab bin Umair, Abdullah ibn Mas'ud, Bilal bin Rabbah, Salman al Farisi dan berpuluh lagi para sahabat merupakan golongan pemuda yang begitu kukuh akidah mereka hasil didikan tarbiyah daripada Nabi Muhammad s.a.w.
Sekarang mari kita pergi ke depan sedikit, iaitu selepas zaman para sahabat. Siapakah pejuang-pejuang agama Allah yang telah menegakkan ketauhidan di muka bumi ini. Dialah Salahuddin al-Ayyubi, yang telah menakluk Jerusalem pada umur 40 lebih. Dialah Sultan Muhammad al-Fateh, yang telah menakluk Constantinople pada umur 21 tahun.
Maka pada hari ini, mari kita bertanya pada diri kita, siapakah pemuda-pemuda yang akan kembali mendaulahkan Islam di muka bumi ini, siapakah pemuda-pemuda yang akan kembali menegakkan panji-panji syahadah di masa depan   Adakah kita akan tergolong dalam mereka-mereka yang menegakkan agama Islam? Adakah pada hari ini kita sudah cukup bersedia untuk menjadi pembantu-pembantu agama Allah?   Mari kita tanya diri kita sendiri.


Adakah pemuda yang memenuhi masa lapangnya dengan movie akan dapat mencontohi Abu Bakar?

Adakah pemuda yang tidak lekang dengan lagu-lagu lagho akan dapat mencontohi Salman al-Farisi?

Adakah para pemuda yang tidur lambat kerana bermain game sama dengan Sultan Muhammad al-Fateh yang tidak pernah terlepas solat tahajjudnya di malam hari sesudah baligh?

Di mana tahap kita pada hari ini? Suka saya untuk membawa beberapa hadis yang berkata tentang para pemuda, yang sepatutnya diketahui dan diambil pelajaran oleh setiap daripada kita: 

       Rasulullah saw bersabda: "Rebutlah lima perkara sebelum lima perkara...masa mudamu sebelum masa tuamu"(HR al-Hakim)

Rasulullah saw bersabda: " Tujuh golongan yang akan mendapat perlindungan Allah pada hari yang tiada perlindungan selain daripada perlindungan Allah........pemuda yang sentiasa mengabdikan diri pada Allah pada masa umurnya." (HR Bukhari dan Muslim)

Rasulullah saw bersabda: " Sesungguhnya Allah sangat mengkagumi pemuda yang tidak ada baginya masa muda( berhibur dan bersuka ria)." (HR Ahmad dan Abu Ya'la)

Rasulullah saw bersabda: " Tidak akan melangkah seorang hamba pada hari akhirat kelak sehingga ditanya kepadanya tentang 4 perkara:.....masa mudanya, pada apa dia telah habiskan." (HR Tirmizi)
Oleh itu marilah kita melakukan perubahan secara maksimum terhadap diri kita agar kita, Insya-Allah dipilih untuk turut bersama berada dalam perjuangan mereka yang menegakkan kembali Islam.
Mungkin ada yang di antara kita merasakan dirinya tidak perlu untuk turut sama dalam perjuangan ini, merasakan dirinya cukup untuk sekadar memerhati. Di sini saya mahu membawa satu perumpamaan perbezaan bagi mereka yang sekadar memerhati dan bagi mereka yang turut bersama dalam perjuangan.
Ramai dikalangan kita mengatakan kita ingin Islam kembali berubah. Bila ditanya mereka sentiasa mengatakan mereka mahu. Bila berulang kali ditanya mereka masih mengatakan mahu. Namun, siapa yang buat sesuatu ke arah kembalinya kegemilangan Islam suatu ketika dahulu?Beginilah sifat yang dihadapi oleh umat Islam kini. Banyak bercakap dari serius untuk memastikan kata-kata itu dibuktikan melalui tindakan. Hanya sedikit di kalangan kita yang benar-benar bertindak ke arah itu. Adakah sama mereka yang sekadar berkata dengan mereka yang berusaha dan bertindak dalam membela agama Allah? Kata-kata perlu dibuktikan. Bukan sekadar bercakap.
Tidak sama sekali! 

Perasaan mereka yang hanya memerhati akan pasti berbeza dengan mereka yang turut berjuang. Imbalan mereka yang hanya memerhati pasti akan berbeza dengan mereka yang bersusah-payah.